Disampaikan pada Majlis Makan Malam Kiambang Bertaut sempena Muktamar Nasional kali ke-12 Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH) di Putrajaya International Convention Centre (PICC), 16 September 2018.
Assalamu alaykum,
Saudara Ahmad Azam, Mursyidul ‘Am Reformasi Ustaz Siddiq Fadzil, Prof Redzuan, Prof Osman, Raimi dan pimpinan ABIM, pimpinan PKPIM, tetamu yang saya muliakan, rakan-rakan lama dan baharu. Saya terharu dengan sambutan, kejituan rakan-rakan kerana menjayakan majlis pada malam ini.
Saya tidak hadir pagi tadi tetapi dapat membaca rumusan yang agak panjang yang dikirim oleh saudara Amidi kepada saya mengenai pidato Siddiq Fadzil mengenai ruh reformasi dan Perisytiharan Permatang Pauh yang bermula dengan ayat 88 Surah Hud. Saya teliti dan sempat berkongsi dengan Azizah tengahari tadi, sebelum dia ke Kota Kinabalu, katanya kupasan dan tafsir Siddiq Fadzil mengenai Perisytiharan Permatang Pauh 1998 adalah lebih baik daripada perisytiharan itu sendiri.
Kupasan ini penting dihayati terutama dalam keadaan kita sudah memperolehi kekuasaan dan seringkali kekuasaan itu akan menghakis idealisme. Ini sunnah alam dan hukum sejarah. Dari penjara Sungai Buluh saya pernah menulis kepada pimpinan Parti Keadilan Rakyat mengenai perjuangan dan sejarah reformasi. Sejarah perjuangan Rasulullah saw sendiri pun kita lihat bertahan dalam menggilap ruh perjuangan tetapi juga dikhianati dalam babak-babak berikutnya. Tetapi berbeza dengan sejarah revolusi lain yang berkembang, ruh Islam itu dapat dipertahan kerana tiap generasi memungkinkan idealisme itu digilap semula.
Tetapi dalam sejarah mutakhir bermula dengan Revolusi Perancis. Liberty, equality, fraternity – kebebasan, keadilan, persaudaraan – menjadi ungkapan yang memukau rakyat yang mahu dan inginkan perubahan. Revolusi Perancis itu sendiri berhasil, tetapi memungkinkan munculnya persaingan golongan elit. Revolusi menjanjikan perjuangan rakyat; yang berlaku ialah persaingan kuasa di kalangan golongan elit. Dan bila golongan Jacobins di bawah Robespierre menguasai, maka berlakulah kezaliman, kekerasan, kerana mempertahan ideologi yang mereka tafsirkan sebagai menjiwai ruh Revolusi Perancis yang tak semestinya didokong oleh rakyat. Tetapi kenyataannya ialah tatkala mencetusnya revolusi, semangat rakyat yang digilap, rakyat bangkit dengan kemarahan. Maka berlaku the storming of the Bastilles [penjara Bastilles] dan memulakan satu episod sejarah luar biasa.
Tetapi ditinjau keadaan 5-10 tahun selepas itu, kemerdekaan, kebebasan dan nasib rakyat jelata tidak terbela. Malah dalam kajian yang dibuat setelah 10 tahun revolusi seperti yang dikupas dalam buku Citizens [Citizens: A Chronicle of the French Revolution by Simon Schama, 1989]– apa yang berlaku adalah derita rakyat, kemiskinan golongan petani, menjadi lebih parah selepas berlakunya revolusi. Pemerintahan lama, usang di bawah raja-raja feudal itu sudah buruk nasib petaninya, tetapi lebih parah lagi setelah revolusi. Kita nak tunjukkan bahawa ia tidak menjanjikan sesuatu yang benar selain daripada idealisme peringkat awal yang digilap oleh pencetus revolusi.
Ada yang menganggap kupasan saya ini terlalu sinis terhadap perubahan, terlalu curiga terhadap sikap elit. Saya memang curiga tentang golongan elit. Mereka hanya berat soal persaingan kuasa, di kalangan politik. Di kalangan pedagang dan peniaga, itu persaingan siapa yang dapat rebut laba selepas itu. Dan dengan gabungan elit baru dan golongan pengusaha baru, maka berlakulah pemindahan kuasa di kalangan elit yang tidak menyentuh citarasa perjuangan rakyat jelata.
Kita lihat pula Ghandi dan Nehru. Kalau kita meneliti pidato Nehru di ambang kemerdekaan India, Tryst with Destiny– ia adalah ungkapan yang sangat memukau. Saya lihat itu antara ucapan yang cukup hebat dan gagah sekali menjanjikan dengan stroke of midnight, India akan mengecapi kemerdekaan dan terbela nasib rakyat yang ditindas oleh penjajahan selama ratusan tahun. Maka muncul tokoh seperti Ghandi, tetapi kesenjangan terus melebar, rasuah menjadi budaya dan seterusnya.
Indonesia yang dijanjikan oleh Soekarno ialah jambatan emas; janji oleh Bung Karno bahawa Indonesia akan menyaksikan kebebasan, hilangnya penderitaan. Kita tahu sejarah berikutnya sehingga jatuhnya Soekarno dan sehingga sekarang soal kemiskinan, kesenjangan dan budaya korupsi itu menjadi suatu hal yang sangat rumit diatasi.
Kita lihat Pakistan di bawah Mohammad Ali Jinnah. Dalam pidato yang sangat baik di Constituent Assembly 1947, iaitu salah satu pidato brilliant oleh seorang negarawan Muslim yang membicarakan bahawa apa yang berlaku di Pakistan itu ialah revolusi yang agak sacrosanct (amat suci) – yang menjanjikan pembenterasan rasuah, dan bahawa the army must return to the barrack [tentera kembali ke kem mereka]. Itu tidak berlaku puluhan tahun sehingga sekarang. Kita mengalu-alukan kemenangan Imran Khan, tetapi Imran Khan yang diharapkan memberikan wajah baru bagi Pakistan masih didokong dengan kuat oleh tentera. Kita mengharapkan perubahan yang baik.
Kita lihat Mandela. Beliau merupakan di antara ikon kebebasan, sedia memaafkan, hidup dengan penuh derita – peribadi dan keluarga, dan membawa suatu harapan baru bagi Afrika Selatan. Tetapi satu generasi sesudah Mandela, lahir Zuma yang dicemari dengan rasuah dan tingkah laku yang sangat bobrok, rendah akal budi. Ada percubaan [pembaikan]oleh Ramaphosa; mudah-mudahan ini berhasil.
Tetapi yang ingin saya sampaikan, kita bersyukur kepada Allah swt kerana ledakan reformasi menghasilkan sesuatu yang ditunggu oleh ramai rakyat. Saya hanya menyingkap lembaran sejarah ini supaya kita lebih tenang merenung dan menginsafi bahawa ia tidak berhasil hanya dengan kemenangan. Ia berhasil hanya dengan keyakinan. Kalau kita, dasarnya aqidah. Ia berhasil dengan pimpinannya tidak mempamerkan syakhsiah boros, angkuh, segera, kerana jabatan-jabatan dipegang oleh mereka. Ia akan berhasil dengan dasar akhlak, bahawa pimpinan ini melambangkan nilai baru, bukan sekadar ideas tetapi values. Menolak kezaliman, menolak rasuah, menolak keangkuhan yang berteraskan akhlak – dan bagi kita tentunya akhlak Islam dan bagi masyarakat Malaysia satu nilai, akhlak dan etika yang dapat menarik minat, perhatian, dinilai dari sudut kesungguhan kita melaksanakannya.
Saya ulangi reformasi, revolusi, transformasi dan perubahan yang berlaku dalam pilihanraya itu tidak harus berakhir hanya dengan perubahan pimpinan. Ini bukan soal contending forces among the elites. Ia mesti melahirkan elit yang mempunyai kekuatan nilai. Saya juga bergelut dalam parti yang saya pimpin bersama dalam PKR, dalam hal yang sedemikian. Sukar kita menyatakan bahawa hilang minat, nilai, fi’il keangkuhan mempamerkan kekayaan, menggunakan kuasa untuk mengugut – itu kita dengar di sana sini. Ini suatu bencana kalau tak dibenteras dari sekarang. Saya telah diberi mandat oleh parti untuk mengambil alih selaku Presiden bulan November ini dari Azizah. Maka untuk pertahankan semangat dan ruh reformasi dan perubahan ini, saya tentunya wajar bertindak tegas menyelamatkan ruh perjuangan ini dan menolak kecurangan kerana rasuah dan keangkuhan.
Saya bicarakan soal nilai, tetapi kita hidup dalam dunia yang diungkapkan oleh Barat, terutamanya Amerika sebagai post-truth. Giuliani, antara pendokong Donald Trump yang terkenal, menyebutkan bahawa “there is no truth,” “truth is relative,” “now we are living in a world of false truth.” Bila kebenaran itu menjadi relatif, rasuah jadi relatif, penghinaaan terhadap kaum jadi relatif, maksiat jadi relatif. Permissiveness berlaku justeru kerana semuanya menjadi relatif. Pernah saya baca rencana oleh Muhammad Natsir tentang permissiveness kerana moral itu jadi relatif. Ini yang disebut post-truth dan orang tidak memperdulikan lagi ilmu.
Tadi dalam dialog dengan anak muda dalam Anwar Ibrahim Club (AIC), saya mengingatkan mereka bahawa kalau benar kita inginkan perubahan, kita kena persiapkan dengan keyakinan dan ilmu. Kerangka besar kita itu harus jelas, dan saya ulang apa yang disebut oleh Sayyidina Ali ibn Ali Talib r.a tentang lazzat al-ma’rifah yang saya cuba kupas dalam Gelombang Kebangkitan Asia; mencintai ilmu sebagai satu yang lazat dan mengasyikkan; bukan kerana kerjaya, bukan kerana ingin menampilkan dirinya sebagai seorang alim atau intelektual. Ia kerana kecintaan dan kelazatan kepada ilmu. Dan saya bawa juga pandangan Jalaluddin Rumi tentang ilmu itu sebagai sesuatu yang mesti di consumed, sebati, dan dihayati. Dan menarik kerana T.S. Eliot penyair Inggeris-Amerika yang saya minati, yang menyebut tentang ilmu itu membezakan antara information, knowledge and wisdom– maklumat, ilmu dan hikmah. Ini pandangan orang Barat. Jadi kata Rene Guenon … ada increased access to information but decline in real knowledge. Ditambah oleh Eliot, “There is no wisdom,” maklumat bercambah, tetapi orang yang menerima maklumat tidak tahu sama ada maklumat itu benar atau tidak, maklumat itu jadi ilmu atau tidak, dan ilmu yang diambil itupun tidak difahami sebagai sesuatu yang benar-benar bijak dan hikmah. Jadi yang berlaku ialah bercambahnya maklumat atau informasi tetapi meningkatnya kejahilan (ignorance) atau kedangkalan dalam perbahasan seperti yang kita lihat sekarang, termasuk dalam dakwah dan Islam.
Islam berkembang, pembicaraan tentang Islam merebak, yang bertudung dan berjanggut kecil bertambah, tetapi yang mengungkapkan pandangan yang lari daripada hikmah itu juga bertambah. Malah Islam itu dikaitkan dengan bukan saja pelampau atau pengganas seperti ISIS, tetapi yang merebaknya ialah kepantasan menghukum yang dibahas oleh rakan-rakan dalam ABIM. Iaitu bila disebut Islam, hebat Islamnya kalau lebih keras menghukum orang, lebih cepat sebat lebih hero dia dari segi syariah. Jadi, ruh rahmatan lil ‘alamin, irhamu man fi al-ard yarhamkum manfi al-sama’, semua hilang. Bahawa tentang kasih sayang, compassion itu tidak ada. Kalau kita pantas rotan, kita hebat, sama ada ia tergolong hudud, malah hudud sendiripun patut dilihat konteksnya, maupun yang ta’zir. Jadi orang kian takut untuk mengupas kerana menyentuh soal Islam akan dilihat seolah-olah kita anti-syariah. Ini bahaya.
WADAH, ABIM dan PKPIM mesti kekal dengan agenda dakwah mereka. Tanggungjawab kita adalah untuk mempertahankan risalah Islam yang benar yang menunjukkan kesediaan kita untuk mendidik, menunjukkan rasa rahmat dan kasih sayang, mengungkap balik pengalaman Rasulullah s.a.w. dengan Yahudi, bahawa “dia juga manusia” (Baginda bangun untuk memberi penghormatan kepada jenazah Yahudi yang diiring di depan baginda). Tatkala Rasul s.a.w. berbicara dengan teman-teman, sahabat-sahabat tentang bencinya Islam terhadap faham perkauman dan rasisme, ini tidak diungkap.
Kalau kita lihat orang hitam, dalam nada gurauan, orang itu dipanggil Pak Hitam, tetapi kadang-kadang kalau kita baca, sedar pula kita bila orang sebut “Hai anak orang kulit hitam.” Memang hitam betul Bilal dari Habasyah, tetapi itu dilarang, kerana Islam itu menekankan begitu kuat sekali kemanusiaan yang tidak harus menghukum orang kerana warna kulit, kaum, dan bahasanya. Sebab itu, bila Salman al-Farisi mengemukakan penterjemahan Quran dalam bahasa Parsi, itu diizinkan; bukan Qurannya tetapi maknanya dalam penafsiran awal.
Mengapa hal ini tidak menjadi begitu berbekas dan kuat dalam pegangan kita? Yang disebut oleh orang-orang Trump sebagai post-truth sebab kita yang menyebar dan menyemarakkan Islam itu belum mampu mencapai matlamat yang sewajarnya. Kita bicara soal maqasid shari’ah. Bagi saya sangat penting kerana bicara syariah tanpa faham bahawa syariah itu ada matlamatnya seperti keamanan, perdamaian, keadilan, dsb [adalah sangat berbahaya]. Dia tak kira, sebab kefahaman syariah padanya ialah menghukum dan merotan. Jadi polemik ini berterusan, kerana golongan ulama rasa takut, lebih keras bunyinya, lebih hebat, walaupun kesannya lebih merugikan.
Sahabat saya Dr. Ziauddin Sardar [tidak menggunakan] istilah post-truth tetapi post-normal; post-normal times. Siapa menyangka Amerika boleh melahirkan Donald Trump? Siapa jangka Donald Trump buat keputusan yang begitu radikal, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibukota Israel dalam masa yang singkat? Siapa jangka dia akan isytihar perang dagang dengan Cina? Siapa jangka dari sudut environmental impact, sekarang ini, beberapa kawasan di sekitar Iran, Pakistan menjadi terlalu panas, mencecah 48o Celcius. Siapa menjangka ada masalah imigrasi baru yang mencecah hampir puluhan juta. Sebahagiannya kerana perang saudara seperti Syria, sebahagiannya kerana cuaca kering kontang yang menyebabkan orang pindah. Semuanya ini di luar jangkaan; ini diungkap sebagai post-normal. [Hal ini] pernah berlaku dulu, tetapi tidak dalam kepantasan, spontaneity seperti yang berlaku sekarang.
Apa kesan post-normal ini? Lahirnya revolusi teknologi, artificial intelligence(AI) yang dianggap sebagai sesuatu yang mesti diterima, tetapi diterima dengan segala risikonya. Stephen Hawking menyebut “We are at the most dangerous moment in the development of humanity.” (Kita dalam keadaan paling bahaya dalam sejarah perkembangan manusia.) Sebabnya ialah artificial intelligence. Saintis ulung yang kupas begini. Beliau menafikan Tuhan, tetapi dia juga tidak menyembah ilmu sepertimana golongan sekular biasa. Dia masih mengingatkan kita bahawa nilai kemanusiaan akan roboh dan runtuh, maka ada cabaran baru bagi kita.
Jadi yang disebut spontaneity bergerak semasa kerana kepantasannya (speed), ruang lingkupnya (scope) begitu luas dan oleh yang demikian, apakah kita mampu menyelesaikan dalam masa yang singkat semuanya? Kita tidak mampu. Kenapa saya cuba ungkapkan lakar permasalahan ini di hadapan saudara? Kerana saya yakin WADAH terutamanya, adalah badan dakwah yang segar berbicara soal nilai, soal kemanusiaan, satu-satunya badan Islam yang tidak rasa mengalah, memaaf, atau apologetik bila mengatakan Islam harus tegak dalam masyarakat multiracial, multireligious. Islam harus dikembangkan dengan mengambil kira perasaan dan sikap dan respon orang-orang bukan Islam di negara kita. Inilah badan yang berani menyatakan bahawa pertumbuhan ekonomi harus segar tetapi tidak harus mengizinkan kesenjangan dan kemiskinan. Ini juga kalangan yang menolak faham perkauman yang sempit, bukan baru, tetapi sejak 1970an kita telah menolak elemen perkauman dalam dasar ekonomi. Dan ingin menyatakan bahawa sekiranya benar kita menyampaikan risalah Islam, maka kita juga harus berani menyampaikan bahawa kezaliman dalam apa bentuk terhadap mana-mana kaum pun tidak harus diizinkan, penindasan terhadap sesiapapun harus ditolak, kesenjangan antara kaum mana sekalipun tidak harus dibiar dan diizinkan. Kerana itu makna bagi saya dan rakan-rakan semua – transformasi, reformasi, apatah lagi dalam semangat hijrah Nabi s.a.w. dari Makkah al-Mukarramah ke Madinah al-Munawwarah.
Saya tidak perlu ulang dan saudara tahu apa natijahnya meninggalkan sesuatu yang jelek, bobrok, usang dan zalim dan menginginkan suatu perubahan yang dapat menegakkan keadilan, yang tidak menghina sesama manusia Islam dan bukan- Islam. Bila saya bawa pandangan Sayyidina Ali Abi Talib r.a. tentang kemanusiaan, dan Islam dan bukan-Islam, ada yang pertikai, katanya kita saja orang Islam yang bercakap tentang hal ini, tetapi sebahagian pemimpin agama lain tidak pula tunjuk sikap toleran. Dia ambil sikap negatif terhadap Islam. Kalau ada tindakan merotan, itu yang dia bising habis-habis. Atau dalam kes LGBT, dia tunjukkan kita sebagai golongan yang tidak toleran sama sekali. Kata mereka, “Kalau kita benar-benar mahukan kebebasan apa salahnya kalau ada yang ingin kahwin sama-sama seks. Biarlah, ini dunia baru.” Tetapi ini juga dunia, kalau kita pertahankan sikap yang melampau begitu, ia akan menjadi dunia yang menenggelamkan dan menguburkan nilai. Sistem nilai itu baik di Barat atau Timur kalau dikaji dan diteliti, masih berpunca pada agama – Islam, Kristian, Hindu, Buddha; sistem nilai manusia asasi itu masih terikat pada agama.
Saya tidak perlu defensif, kalau orang nak bangkitkan kononnya saya masih menyelubungi kerana ada ruh Islam di dalamnya. Semalam di Singapura saya katakan, saya berani dan rasa walaupun penuh tawadu’, menjadi pemimpin kecil-kecilan ini kerana fikir saya dapat mewakili sedikit sebanyak sentimen majoriti rakyat Islamnya maka saya boleh kupas dan berani menolak dan menyanggah tafsiran Islam yang melampau atau yang cuba menutup faham perkauman atau faham kolot, atau sikap melampau. Kalau orang itu terdiri dari golongan sekular dan terlalu liberal, kemudian ingin mengangkat dirinya dan menganggap dia mewakili sentimen Islam, saya fikir majoriti umat Islam, terutama yang ada didikan dan kesedaran Islam, sukar mahu menerima. Jadi saya tidak apologetik mengatakan ini sesuatu yang rugi, terutama kerana mereka kaitkan bahawa, “Dia dulu Abim, dalam ABIM dia sebut begini begini.” Saya baca beberapa karya Prof Osman Bakar untuk membantu menjawab soalan ini.
Apa yang nak sampaikan tadi ialah bahawa cabaran kita dalam menyemarakkan semangat reform yang diungkap dengan pintar dan penuh bijaksana oleh sahabat saya Siddiq Fadzil, itu harus diterjemahkan agar ia tidak dihijack sehingga menjadi slogan murahan untuk membolehkan golongan baru bertapak meninggalkan idealisme ini. Mandela dapat bertahan satu generasi, dan melahirkan Zuma belumpun dia meninggal dunia. Saya sebut di Hongkong, novel Gabriel Garcia Marquez The General in His Labyrinth– beliau Nobel laurette ulung Amerika Latin yang mengisahkan tentang Simon Bolivar. Beliau ialah pejuang kebangsaan ulung yang menolak, menggagalkan rencana Sepanyol, dianggap hero sampai sekarang. Semua tokoh-tokoh di Amerika Latin menganggap mereka itu Simon Bolivar termasuk penyamun dan perasuah. Dalam novel ini, di bahagian akhir, Simon Bolivar dengan kudanya di atas bukit melihat kota-kota yang pernah ditawan kemudian diserah kepada pimpinan baru dengan rasa curiga dan kecewa, bahawa ruh perjuangan, idealisme yang digilap dulu, menolak kerakusan kuasa penjajah, menolak rasuah dan keangkuhan, cepat sekali diserapi oleh pimpinan baru.
Kuasa itu juga memungkinkan munculnya bencana baru. Ada orang masa susah hebat ruh perjuangannya, bila ada kuasa runtuh nilai akhlaknya. Apa yang dikaitkan dengan Lord Acton “Power corrupts and absolute power corrupts absolutely” itu bukan sesuatu yang sukar dimengerti kalau dilihat sosok pemimpin-pemimpin yang mudah melakukan kecurangan.
Tugas saya, sebagai seorang warganegara yang tidak ada jawatan, hanya untuk mengingatkan walaupun ada teman-teman ada mengatakan saya ini kian tua, kian tidak relevan, kerana saya hanya terlalu sinis dan tidak mempercayai barisan pimpinan muda. Ini tidak benar, saya adalah di antara pemimpin yang banyak memberi ruang kepada pimpinan muda, tetapi saya juga antara yang paling keras mengingatkan mereka bahawa jangan pijak rakyat yang pernah mengangkat dan mendokong kita. Naharudin siapkan video singkat tentang reformasi dan saya minta Ahmad Azam forward kepada saya. Yang tidak ditunjukkan ialah betapa siksa dan deritanya orang-orang ini. Saya sudah dipenjara, orang-orang ini pula diheret satu demi satu, tersiksa dan menderita.
Tetapi ada pula orang yang menderita, namun setelah ada tampuk kekuasaan, cepat melupakan, bukankah kerja bangsat begini? Bila ditanya, jawabnya “Saya juga derita dulu.” Itu tidak menjadi alasan untuk kamu jadi khianat. Ramai yang derita dulu. Lebih baik yang tidak derita dan jadi baik, daripada yang derita dan memporak perandakan semangat pejuangan. Ada tokoh lama rosak kerana khianat, ada tokoh baru yang muncul dengan idealisme dan baik. Sebab itu saya kata, faktor nilai yang menentukan, bukan lama atau baru atau pernah derita atau tidak.
Derita harus mengajar kita. Orang tanya, Anwar pengalaman kamu 11 tahun keluar masuk penjara, ada belajar apa-apa tak? Ada. Saya dengan penuh tawadhu’ menyatakan bahawa ia mengajar saya lebih memaaf, lebih simpati tentang derita orang. Saya melihat satu persatu pekerja asing dicambuk, dirotan, dan saya rasa sedih. Kalau saya lalu di kawasan itu, orang Indonesia bersuara, “Pak Anwar, tolong kami.” Kerana dia datang cari rezeki yang halal, bayar kepada agen-agen pekerja asing yang dibelakangnya adalah tokoh-tokoh politik yang kaya raya. Dia kehilangan semuanya, yang dapat hanya pangkat sarjan di punggung kerana kesan rotan. Saya lihat anak muda, umur sekitar 14-15 tahun direman selama 6 bulan, matanya lebam, kerana mencuri sepasang seluar jean. Pada masa itu saya jawab yang merompak billion naik jadi Tan Sri.
Tetapi kalau ia tak mengajar saya nilai yang lebih baik, perasaan untuk berbuat sesuatu, mempertahan hak, kembali kepada jalur hukum dan bukan untuk menindas, maka saya tidak ada nilai untuk kebaikan. Sebab itu bila orang tanya, dulu saya bercakap kebebasan, menolak penindasan, tetapi kalau tanya saya sekarang, saya lebih tegas, lebih real menghayati ruh perjuangan ini dari segi kebebasan, menolak keangkuhan dan rasuah, dan lebih menyelami perasaan dan derita orang bawah. Penjara ini sebenarnya tempat orang bawahan, orang besar-besar ini golongan minoriti. 90% itu kelas bawahan. Cuma sekarang saja kita akan lihat, Dato’, Dato’ Seri masuk. Tetapi saya ingin ingatkan bahawa saya value freedom, kerana orang yang dizalimi termasuklah Melayu, India, Cina. Ada yang salah, tetapi tak setimpal dengan hukuman yang mereka jalani. Curi jean memang salah, tetapi tidak setimpal kena 6 bulan penjara, dan kena belasah setengah mati.
Ini kadang-kadang tidak menjadi perkiraan orang dakwah. Reaksinya terhadap sebarang kesalahan keras, tegas, hebat, Allahu Akbar. Apakah dia tahu apa yang berlaku sebenarnya in the real world? Sedarkah dia bahawa penyelesaiannya ialah dengan dakwah bil hikmah wal mau ‘izatil hasanah? Wa ja dilhum billati hiya ahsan? Saya bukan tunjuk sikap yang lemah untuk takut dengan pelaksanaan syariah, tetapi saya lebih takut dengan pelaksana yang tidak memenuhi syarat. Kerana pelaksana yang tidak memenuhi syarat syariat itu memberi kesan yang lebih negatif terhadap Islam dan perjuangan Islam.
Saya sebut tadi kita hidup post-normal times, sukar dijangka dan sukar diduga. Tetapi yang menariknya, Ziauddin Sardar dan temannya yang memberi taklimat kepada saya tentang perkara ini, [menunjukkan] foto saya dengan Mahathir, menang pilihanraya. Ini pun post-normal sebab pertamanya orang tak jangka [kami] boleh berpakat dan keduanya orang tak jangka [kami] boleh menang. Ini tak biasa. Sampai sekarang orang tanya perkara ini. Tetapi saya kata, saya Muslim, strong believer in humanitarian ideals. Pedih ya, pedih yang amat, luka di hati, mencari penyelesaian nak menerima. Saya masih ingat kunjungan Tun Mahathir kali pertama ke mahkamah. Itu sukar, Azizah diam dengan rupa yang sedih, anak perempuan saya menangis di hujung kerana tidak faham mengapa papa boleh terima. Tetapi bila saya terangkan kemudiannya, pernahkah kita dengar seorang Muslim kasar, menolak orang yang datang bercakap baik dan ingin berdamai? Fa aslihu baina akhawaykum. Pernahkah kita dengar sikap sedemikian. Mudahkah untuk kita laksanakan? Tidak mudah, tetapi apakah kita menunjukkan sikap yang keras seolah-olah kita terlalu baik?
Tetapi yang lebih penting bila saya terima Tun Mahathir bulan-bulan berikutnya sehingga berakhir dengan Perisytiharan Konvensyen Pakatan Harapan Januari 2018 ialah kerana Tun Mahathir menerima agenda perubahan ini, menandatangani dokumen yang menyatakan pertama, kebebasan demokrasi, kemanusiaan, pertahankan badan kehakiman yang bebas, media yang bebas, menolak rasuah dan penyelewengan, menolak faham perkauman yang sempit, maka kita setuju mengangkat dia sebagai calon PM. Dan dia dalam tandatangan itu termasuk bahawa langkah pertamanya, setelah menang, akan berusaha membebaskan Anwar dan memberi ruang supaya Anwar kembali dalam kerajaan dan kemudian mengganti beliau sebagai Perdana Menteri. Orang lebih banyak menceritakan soal itu, Mahathir kemudian Anwar. Dia lupa bahawa kita bersetuju kerana agenda reform itu dipersetujui. Kita bersetuju kerana pada waktu itu kita percaya Mahathir akan melaksanakan janjinya.
Ia bukan soal penggantian. Sekarang orang sering bertanya, “Apakah Mahathir bersetuju untuk pilih Anwar? Dulu dia dah buat sekali.” Dia lupa bahawa perjanjian itu lebih mengutamakan isu perubahan dasar, yang Alhamdulillah, setakat ini, sedaya upaya nampak berlaku. Kalau ada yang kurang berlaku, itu kerana barangkali team itu tidak sekukuh itu. Semangat mereka dalam kerja – merebut jawatan, mengugut sana sini. Itu bukan kelemahan Mahathir, tetapi pasukannya. Walaupun sukar, tetapi bila ditanya di Singapura semalam tentang masalah kepimpinan, saya katakan bahawa saya bukan pakar, tetapi apa yang saya tahu ialah mesti ada keyakinan, mesti ada nilai akhlak dan etika, mesti ada daya tahan dan daya juang. Dan mesti melihat politik dan kuasa itu yang memberi kebaikan, kesejahteraan dan rahmat kepada manusia seluruhnya. Dan dalam pengalaman saya mesti ada kesediaan untuk memaafkan. Kalau kita masih terbungkam dalam di lubuk hati, asyik marah dan dendam, we cannot move forward. Sengaja saya bawa masalah besar post-normal times, dari politik sampai artificial intelligence, ialah kerana ia menuntut satu kekuatan baru, perpaduan baru, ikatan baru yang boleh merungkai masalah kusut yang lama ini. Dan kita mula di negara kita.
Saya hargai kesediaan saudara mendengar entah kuliah sejarah, entah kuliah reformasi, tetapi saya rasa lebih selesa berbicara dengan saudara kerana muqaddimah tentang isi perubahan itu telah dirungkai oleh Ustaz Siddiq Fadzil yang saya kira terbaik di negara kita yang boleh mewakili pandangan sedemikian. Saya hanya menyambung, menunjukkan bahawa untuk melaksanakan agenda yang terungkap dalam Perisytiharan Permatang Pauh itu menuntut kekuatan berterusan. Dan kekuatan ini tidak hanya pada parti politik. Saya ini aktivis politik. Tetapi percayalah kata saya: bahawa kalau kita serahkan ini hanya kepada elit politik, kita mengundang malapetaka baru. Kita harus siap siaga mengajak kawan-kawan dalam dakwah, aktivis sosial dalam masyarakat, pengatur media, yang boleh membantu mencerakin dan menjelaskan, untuk mempastikan agenda reform, semangat Perisytiharan Permatang Pauh itu dapat dilaksanakan.
Terima Kasih.