Monday, December 3, 2018

PENDIDIKAN KEINSANAN: MENYOROT WAWASAN KEPENDIDIKAN ANWAR IBRAHIM

PENDIDIKAN KEINSANAN:  MENYOROT WAWASAN KEPENDIDIKAN ANWAR IBRAHIM

Dr Siddiq Fadzil

Mukadimah

Dalam era kekuasaan media, kita selalu tertipu dengan propaganda. Media sebagai image maker banyak melakukan pemalsuan citra, yang kecil diperbesar dan yang besar diperkecil. Antara yang cuba dimangsakan adalah Anwar Ibrahim,  tokoh yang sumbangannya selalu dinafikan, dan kebesarannya selalu diperkecilkan. Mudah-mudahan kita masih memiliki kejujuran nurani, daya fikir kritis dan keberanian bersikap objektif dalam menilai seseorang. Anwar Ibrahim adalah tokoh multi-dimensi dalam pengertian memiliki kemampuan yang pelbagai.  Umum mengenalinya sebagai pemimpin karismatik, ahli politik berkaliber dan strategis yang cemerlang. Tetapi selain itu beliau juga sebenarnya adalah seorang pemikir serius dan ilmuwan berwawasan luas. Banyak wawasan dan gagasannya yang segar dan menginspirasikan:  wawasan  kebangkitan Islam, wawasan kebangkitan Asia, wawasan ekonomi kemanusian, wawasan pendidikan keinsanan, wawasan masyarakat madani, dan yang terkini gagasan World Forum for Muslim Democrats.

Wawasan Kependidikan

Anwar Ibrahim adalah pemimpin-pendidik yang gigih memperjuangkan pendidikan sebagai birth right,  hak yang lahir bersama kelahiran setiap anak manusia. Sejak muda beliau sangat memprihatinkan nasib anak-anak yang tidak mendapat peluang dan kemudahan  belajar,  terutama kanak-kanak di luar bandar. Mereka adalah antara korban kepincangan dasar urban biased development, dasar pembangunan yang lebih memusat di kawasan bandar. Sementara itu mereka yang berpeluang mendapat pendidikan pula, banyak dirosakkan oleh sistem pendidikan yang terlalu bersifat pragmatik dan utilitariansehingga mengabaikan objektif utama islah al-insan
(pembaikan insan). Akibatnya berleluasalah  gejala moral decadence, 
kebejatan moral dalam pelbagai bentuknya. Yang paling menyolok adalah 
hypocrisy elit kepimpinan sebagaimana yang dirumuskan  oleh Anwar sendiri ketika diwawancarai oleh Zainah Anwar,

The  leaders  were condemning  corruption, but they were  enriching themselves. They  talked about Malay nationalism but they were alienated from the Malay masses.
They were obsessed with the west. They were too accommodating to non-Malay sentiments. They were extremely  slow in implementing national 
policies in education and language. We were
impatient and angry about the plight of the Malays, 
their education, rural development, rural health. There was this huge University  Hospital, but no clinics in the rural areas. There were  schools with no laboratories, no  libraries and no qualified
teachers. We were very angry, disgusted and critical of the government. There seemed to be no moral foundation and no spiritual guidance.  We turned to Islam to fill this vacuum and to look for solutions. (Zainah Anwar, 1987:12-13)

Ketempangan sedemikian itulah yang membibitkan kesedaran reformatif-islahi  yang kemudiannya mengorientasikan gerakan kesiswaan PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia)  yang dipimpinnya. Dalam wawasan reformasi-islahinya, agenda pendidikan menempati posisi teras sebagaimana terserlah dalam orientasi  gerakan kepemudaan yang muncul menyusul pada tahun 1971 iaitu Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).  

Sebaik sahaja menamatkan pengajiannya di Universiti Malaya, Anwar Ibrahim terus terjun ke dunia pendidikan kerakyatan dengan menubuhkan  Yayasan Anda, sebuah sekolah menengah kerakyatan  di Kampung Baru, Kuala Lumpur, yang menampung pelajar-pelajar yang tidak mendapat tempat di sekolah-sekolah kerajaan. Mengenai sekolah ini Nagata menyebutnya sebagai gabungan pola pendidikan agama dan sekular:

Religious and secular education patterns in such a way that pupils can both  sit for the national promotional examinations which  open the doors  of occupational opportunity to government and private sector and  receive a solid religious and moral foundation for life as good Muslims.  (Nagata, J., 1984:92).     

Persekolahan model Yayasan Anda segera berkembang dengan memakai nama yang berbeza-beza di Ipoh, Taiping, Sungai Petani, Alor Star dan Kota Kinabalu.  Yang menjadi ciri khas persekolahan model ini ialah pengajaran subjek Prinsip Islam yang memperkenalkan shumuliyyat al-Islam,  iaitu  Islam sebagai cara hidup yang utuh dan menyeluruh.   Selain itu ialah orientasi keislamannya yang kental sebagai jelmaan semangat kebangkitan Islam yang menggelora ketika itu.  Sekolah-sekolah tersebut rata-rata dikendalikan oleh aktivis-aktivis gerakan Islam ABIM.  Majoriti besar aktivis ABIM ketika itu adalah guru-guru, dan mereka memang sangat instrumental dalam gerakan pemerataan kesedaran Islamiah yang berteraskan pendidikan.

Gerakan kependidikan ini juga didukung kekuatan idea demokratisasi pendidikan, bahawa pendidikan tidak seharusnya menjadi hak eksklusif golongan istimewa,  sebaliknya harus dapat dinikmati secara kolektif oleh seluruh rakyat, tanpa mengira kaum dan agama atau status sosialnya. Komitmen terhadap semangat democratization of education yang dikobarkan oleh Anwar Ibrahim telah membangkitkan kesedaran pemerataan pendidikan, di samping pemerataan kesedaran tentang hak mendapat  pendidikan berkualiti. 

Pendidikan Keinsanan

Komitmen kependidikan Anwar Ibrahim juga terbina hasil penjelajahannya yang luas dalam dunia keintelektualan. Pelbagai aliran pemikiran, Timur dan Barat dipelajari dengan tekun, untuk kemudiannya diadun menjadi suatu gagasan yang segar.  Demikianlah beliau mengadun pemikiran Paolo Freire dari Brazil dengan pemikiran ‘Abd al-Rahman al-Kawakibiy dari Syria untuk menggagaskan pendidikan pembebasan dan pemberdayaan. Paolo Freire (1921-1997) adalah tokoh pemikir yang menggagaskan pendidikan  untuk kaum tertindas.  Antara bukunya yang banyak dibicarakan dalam kalangan masyarakat pendidik ialah Pedagogy of the Oppressed dan Education as the Practice of Freedom. Paolo Freire menggunakan pendidikan sebagai wahana membangkitkan kaum tertindas yang buta huruf dan terbenam dalam budaya bisu. Freire berkeyakinan bahawa manusia betapa pun jahilnya, dan berapa pun lamanya terbenam dalam budaya bisu (submerged in the culture of silence), ia tetap berpotensi untuk mampu melihat dunianya secara kritis. Pendidikan yang tepat akan membangkitkan kesedaran tentang hakikat dirinya sebagai manusia yang bermartabat. Pendidikan yang tepat juga akan membebaskannya dari budaya bisu, dan seterusnya memberinya keberanian tampil di pentas dialog kritis. Dengan kata lain, pendidikan liberatif  mampu menciptakan transformasi radikal,   merubah manusia buta huruf yang pasif dan bisu, menjadi manusia baru yang berani bangkit menggugat budaya dan order masyarakat yang menindasnya selama ini.

`Abd al-Rahman al-Kawakibiy (1854-1902)  adalah ilmuwan-pejuang yang termasuk dalam rangkaian tokoh-tokoh gerakan islahakhir abad ke-19  dan awal abad ke-20  yang dipelopori oleh Jamal al-din al-Afghaniy,  Muhammad `Abduh dan Rashid Rida. Kekuatan al-Kawakibiy adalah analisisnya tentang gejala penindasan  sebagaimana yang tertuang dalam bukunya Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad. Bagi al-Kawakibiy, ibu segala bentuk penindasan adalah penindasan politik. Rakyat diindoktrinasi untuk menerima hakikat bahawa golongan penguasa memang diciptakan untuk memerintah semahu mereka, sementara rakyat pula memang dicipta untuk mengabdi kepada penguasa, adil atau zalim.  Al-Kawakibiy mengatakan bahawa rakyat yang tertindas dalam pemerintahan despotik dilayani bagaikan anjing yang dihina tetapi tetap setia,  rela mengabdi walaupun hanya diberi tulang. Rakyat Muslimin di pelbagai rantau dunia terbelenggu dalam kezaliman para penguasa yang dibantu oleh fuqaha’ al-istibdad (ulama penindasan). Umat diindoktrinasi dengan fiqh al-istibdad (fiqh penindasan) yang berintikan ajaran syukur kalau penguasa adil,  sabar kalau mereka zalim. Satu-satunya cara melawan penindasan bagi Al-Kawakibiy adalah pendidikan pembebasan, ilmu yang dapat menyedarkan umat tentang betapa buruknya kehidupan yang sedang mereka alami, dan sekali gus memberikan harapan bahawa mereka boleh memperbaikinya. Dengan kesedaran sedemikian, mereka akan mulai merasakan sakitnya ditindas dan diperas.   

Wacana penindasan dan pentingnya pendidikan pembebasan  memang sangat relevan dalam konteks masyarakat pasca-kolonial yang masih terbelenggu dalam sikap jiwa hamba warisan penjajahan, dan dilanjutkan oleh penguasa pasca-kemerdekaan. Anwar dan rakan-rakannya menyedari bahawa kemerdekaan telah tidak diisi dengan pembinaan jiwa merdeka, malah telah berlaku proses dehumanisasi (penghakisan ciri dan nilai keinsanan).   Manusia yang kehilangan hak dan martabatnya adalah manusia yang telah kehilangan kemanusiaannya. Kerana itu isu insaniyyat al-insan menjadi keprihatinan utama, dan seterusnya membangkitkan kesedaran tentang pendidikan keinsanan.

Pendidikan yang berorientasi keinsanan inilah yang menjadi tumpuan utama ketika Anwar Ibrahim menjadi Menteri Pendidikan.   Antara sumbangan besar beliau sebagai Menteri Pendidikan ialah perumusan Falsafah Pendidikan Negara yang berintikan idea keinsanan,  “...memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan.” Bagi Anwar human development  adalah paksi pembangunan di segala sektor dan bidang,  termasuk pembangunan ekonomi yang harus menjadi bahagian integral daripada keseluruhan falsafah pembangunan insan. Beliau mengingatkan bahawa manusia yang dimaksudkan dalam konteks pembangunan ekonomi yang digagaskannya,  bukan manusia menurut definisi humanisme sekular yang sentiasa haus dan rakus,   tetapi manusia unggul  seperti yang dikonsepsikan dalam tamadun-tamadun besar dunia, iaitu seperti chun tzu(manusia sempurna) dalam Konfusianisme,   dan insan salih (manusia baik) dalam Islam.   Pembangunan ekonomi tidak dilihat dari perspektif homo economicus yang materialistik,  tetapi dari perspektif homo islamicus yang mampu menciptakan keseimbangan material-spiritual.  

Universiti  dan Kualiti Keintelektualan

Berbicara tentang kebangkitan Asia, Anwar Ibrahim mengingatkan peri pentingnya kecemerlangan intelektual dan pengayaan budaya (intellectual excellence and cultural enrichment). Mediokriti  harus segera digantikan dengan kecemerlangan (intelektual). Justeru,   kemajuan dan kebangkitan tidak mungkin berlaku di tengah kebekuan dan kegersangan intelektual. Mengenai kepentingan iklim keintelektualan yang segar sebagai  prasyarat perubahan,   beliau mengatakan, “The reengineering of society, to make it more open, transparent and tolerant,  is also contingent upon a vibrant intellectual climate.” (Anwar Ibrahim, 1997:30).

Ternyata Anwar Ibrahim sangat memprihatinkan kualiti keintelektualan di negara ini, dan seterusnya kepiawaian para graduan yang ditampilkan oleh universiti-universiti tempatan. Dilatari keprihatinan tersebut, ketika menjadi Menteri Pendidikan,  beliau telah mengarahkan semua Naib Canselor membaca sebuah laporan tentang kemerosotan pengajian tinggi di Amerika Syarikat.  Laporan berjudul A Nation at Risk (1983) itu mengungkapkan keprihatinan terhadap tahap kekuatan intelektual, moral dan spiritual bangsa Amerika, “Our concern,  however, goes well beyond matters such as industry and commerce. It also includes the intellectual, moral and spiritual strength of our people which knit together the very fabric of our society.”                          

Perhatiannya terhadap mutu pengajian tinggi tidak terbatas hanya ketika menjadi Menteri Pendidikan, tetapi berterusan hingga sekarang. Dalam pesanan khasnya kepada penulis,  beliau menyarankan agar diteliti juga laporan selepas A Nation at Riskdi atas,  iaitu A Test of Leadership (2006) yang memprihatinkan pelbagai gejala kemorosotan dalam pendidikan tinggi Amerika Syarikat. Kesimpulan laporan tersebut menyatakan:

The future of our country’s colleges and universities is threatened by global competitive pressures, powerful technological development, restraints on public finance,  and serious structural limitations  that cry out  for reform.
Our report has recommended strategic actions designed to make higher education more accessible, more affordable, and more accountable, while maintaining world-class quality. Our Colleges and universities must become more transparent, faster to respond to rapidly changing circumstances and  increasingly productive in order  to deal effectively with the powerful  forces of change they now face.

Laporan-laporan sedemikian menarik perhatian Anwar, kerana beliau sendiri memang mengaspirasikan universiti berkualiti tinggi yang  dapat menjadi pusat pengembangan minda kreatif dan adventurous.    Beliau menerima pentingnya pengkhususan,   tetapi tidak harus terkurung dalam kepompong  pengkhususan.  Sebaliknya harus ada pendedahan secukupnya kepada idea-idea penting dari disiplin lain dan perkembangan pemikiran umum semasa. Di samping cemerlang dalam bidang masing-masing, para graduan juga harus memiliki cita rasa seni, sastera, musik dan karya-karya yang tinggi nilai estetikanya. Para graduan universiti yang menguasai bidang yang pelbagai itulah yang beliau sebut sebagai multidimensional men.

Beliau juga menginginkan agar institusi-institusi pengajian tinggi memiliki kesanggupan dan keberanian melakukan penerokaan baru dalam pelbagai bidang   falsafah, agama, perundangan, ekonomi, seni dan sains.  Pelajar-pelajar universiti pula tidak harus hanya terpaku pada buku-buku teks semata-mata, tetapi harus dibimbing untuk meneroka idea-idea dari karya sarjana-sarjana besar, dan   mengikuti polemik  intelektual dari pelbagai aliran. Di samping membangkitkan ghairah keintelektualan,  beliau juga mengingatkan pentingnya nilai-nilai murni kerohanian seperti keihlasan, kerendahan dan kemurahan hati, serta kecintaan pada kebenaran dan keadilan. Tanpa didasari nilai-nilai tersebut, ilmu setinggi mana pun tidak akan membawa kebaikan. (Anwar Ibrahim,  1997: 106-107).    

Anwar Ibrahim memang sangat komited dengan epistemologi Islam.   Peranan kuncinya dalam penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) membuktikan kesungguhannya dalam usaha membangun semula tamadun keilmuan Islam berteraskan epistemologi tawhidik dalam pengertian Islamisasi ilmu. Sebagai ilmuwan Islamis, beliau cukup menyedari masalah-masalah yang membelit tradisi keilmuan sekular Barat dengan segala akibatnya. Kritiknya yang konsisten terhadap sekularisme,  mengimplikasikan komitmen terhadap de-sekularisasi ilmu, untuk seterusnya dikembalikan kepada tawhid  sebagai prinsip dan kaedah integratif  menuju kesepaduan ilmu dalam suluhan wahyu Ilahi.

Khatimah

Anwar Ibrahim adalah contoh manusia pencinta ilmu yang setulennya.  Beliau benar-benar telah mengecapi ladhdhat al-ma`rifah (kelazatan ilmu).   Kerana itu beliau selamanya sangat akrab dengan ilmu dan ilmuwan.   Apabila berbicara tentang sesuatu, dapat dipastikan beliau memang tahu apa yang dibicarakannya,  bukan pura-pura tahu seperti sesetengah orang.   Pidato-pidatonya yang memukau,  bukan hanya kerana gaya retorikanya yang istimewa,  tetapi lebih daripada itu adalah kekentalan ideanya yang terhasil dari penjelajahannya dalam dunia keilmuan yang memang cukup luas.  Kemanusiaan seorang manusia,  bukan pada raga jasmaninya,  tetapi pada akal budinya.  Demikianlah keyakinan dan pegangan hidup Anwar Ibrahim yang ternyata sangat teruja dengan bait-bait puisi Abu al-Fath al-Busti:

Ya khadima ‘l-jismi,  kam tashqa li khidmatihi,

Litatluba ‘r-ribha mimma fihi khusranu,

Aqbil `ala ‘n-nafsi wa ‘stakmil fada’ilaha,

Fa anta bi ‘n-nafsi, la bi ‘l-jismi insanu.

Wahai pengabdi jasmani,  betapa penat kau merawatnya,

Bak mencari laba, di pasar  ruginya segala niaga

Hadap sajalah jiwa dan minda, bina hingga sempurna

Dengan akal budi, bukan raga jasmani, kau jadi manusia.



Rujukan:

Allers,  Charles.  2013.  Anwar Ibrahim:  Evolution of a Muslim Democrat.  Singapore:
Monsoon.

Al-Kawakibiy,  `Abd al-Rahman.  2009.  Taba’i` al-Istibdad wa Masari` al-Isti`bad.  Kaherah: Dar al-Shuruq.  

Anwar Ibrahim.  1997.  The Asian Renaissance.  Singapore:  Times Book International.

Freire,  Paolo.  1968.  Pedagogy of the Oppressed.  New York: The Seabury Press.

Nagata, Judith.  1984.  The Reflowering of Malaysian Islam: Modern Religious Radicals and Their Roots.  Vancouver: University of British Columbia Press.

Siddiq Fadzil.  2014.  Pendidikan al-Hikmah dan Misi Pencerahan. Kajang:  Akademi Kajian Ketamadunan.       

-----------------  2015.  Misi Kecendekiawanan dalam Gerakan Reformasi Islahi.  Bangi: Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

Zainah Anwar.  1987.  Islamic Revivalism in Malaysia:  Dakwah Among the Students. Petaling Jaya:  Pelanduk Publication.

Wednesday, October 31, 2018

UCAPAN TAHNIAH DATO' DR. SIDDIQ FADZIL DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH USIM

UCAPAN TAHNIAH DATO' DR. SIDDIQ FADZIL DILANTIK SEBAGAI PENGERUSI LEMBAGA PENGARAH USIM 


Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) mengucapkan tahniah di atas perlantikan YBhg. Prof. Dato' Dr Siddiq bin Fadzil, Ketua Majlis Istisyari Wadah (MIW), sebagai Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bermula 1hb Oktober 2018.

Pelantikan ini adalah suatu pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam dunia akademik dan intelektual sepanjang lebih 30 tahun serta penglibatan berterusan dalam dakwah dan sumbangan dalam masyarakat.

Wadah juga  yakin dengan pengalaman luas beliau dalam memimpin dan mengemudi amanah selaku Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang ketiga sejak 1983-1991 dan presiden pertama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah) 2005-2015 akan dapat membawa USIM terus cemerlang dan gemilang dalam dunia akademik diperingkat antarabangsa.

Sebagai seorang tokoh prolifik yang disegani dalam masyarakat, Dato Dr Siddiq bukan sahaja seorang ahli akademik berpengalaman malah beliau seorang yang cukup berwibawa dalam mengupas gagasan Manhaj Malizie, Maqasid Syariah dan  Islam Rahmatan Lil Alamin serta idea bernas dalam mengupas isu-isu Islam dan Politik negara. Atas usaha dan jasa inilah beliau dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 1440/2018 .

Semoga pengiktirafan ini menginspirasikan seluruh warga universiti dan para cendekiawan dan seluruh umat Islam dan Wadah yakin beliau mampu membawa USIM menjadi Universiti terunggul ke peringkat antarabangsa.




Ab Halim Ismail
Timbalan Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (Wadah).
31 Oktober 2018

www.wadah.org.my

Saturday, October 20, 2018

HIDUP BERSAMA DALAM KEPELBAGAIAN: ISLAM DAN BUDAYA DAMAI


HIDUP BERSAMA DALAM KEPELBAGAIAN: ISLAM DAN BUDAYA DAMAI


Siddiq Fadzil






Mukadimah

Pengangkatan tema hidup bersama dan budaya damai sebenarnya dilatari keprihatinan yang mendalam terhadap masa depan masyarakat Malaysia yang pelbagai kaum, agama dan budaya. Setelah 61 tahun merdeka kita masih mempertanyakan kewujudan bangsa Malaysia yang padu dan utuh. Apakah hingga ke saat ini Malaysia masih seperti yang disebut oleh Rustam A.Sani, ...Malaysia is just a state without nation - or at least, a state with several competing nations” ? (Rustam A.Sani, 2008:59).

Di sebalik tema ini juga tersirat keresahan terhadap persoalan di mana Islam dalam proses pembinaan bangsa selama ini? Apakah Islam telah difungsikan sepenuhnya sebagai kekuatan penyumbang utama kepada kerukunan masyarakat majmuk dan seterusnya kepada agenda pembinaan bangsa? Ada kekhuatiran andainya Islam tidak menjadi penyumbang, sebaliknya penghalang kepada perpaduan kaum dan kesatuan bangsa.

Kepelbagaian dan Hidup Bersama

Hidup bersama adalah padanan kata coexistence yang sekaligus terjemahan istilah al- ta`ayush atau al-`aysh al-mushtarak yang banyak dipakai dalam wacana masa kini tentang hidup berdampingan dengan damai dalam kalangan warga masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya. Kamus al-Wasit memberikan pengertian kata ta`ayashu dan `ayasha sebagai:

.تعايشوا: عاشوا على الالفة والمودة، ومنه التعايش السلمي ، وعايشه : عاش معه
 .والعيش معناه الحياة ، وما تكون به الحياة من المطعم والمشرب والدخل

Isu tentang peaceful coexistence atau al-ta’ayush al-silmiy mulai menjadi pembicaraan dalam kalangan masyarakat dunia setelah tamat Perang Dunia Kedua apabila dunia terbelah kepada dua blok yang bersaing dan bersengketa. Sementara itu muncul pula blok ketiga iaitu negara-negara berkecuali. Keselamatan dunia yang terancam perang dengan senjata pemusnah massal menimbulkan kebimbangan dan sekali gus menumbuhkan wacana tentang keperluan hidup bersama secara damai dalam kalangan negara-negara dunia. Namun demikian konflik dan perpecahan terus berlaku dalam kalangan masyarakat dunia sehingga ada yang menyebut era ini sebagai era perpecahan.

Malaysia yang ditakdirkan menjadi sebuah masyarakat majmuk, telah mengalami proses pembinaan budaya hidup bersama sejak lama. Bagaimanapun kerukunan hidup bersama itu selalu terganggu, terutama apabila politik racist menjelma dan menggila pada musim-musim tertentu. Kerana itu budaya hidup bersama masih memerlukan pemantapan dengan memperkukuh asas binaannya, termasuk asas keagamaan. Agama (Islam) harus difungsikan untuk mendukung aspirasi hidup bersama dengan damai dalam masyarakat majmuk. Dalam kaitan inilah timbulnya wacana fiqh al-ta’ayush atau fiqh hidup bersama.

Budaya hidup bersama harus berpangkal dari sikap positif terhadap kepelbagaian. Seperti yang dinyatakan oleh al-Shaykh Abdu Llah bin Bayyah bahawa untuk menangani masalah kepelbagaian dan pluraliti, perlu ada sikap menghormati dan menyenangi kepelbagaian. Justeru, kepelbagaian adalah kekayaan dan keindahan. Demikianlah hakikatnya, kepelbagaian (bangsa dan bahasa) adalah bahagian daripada ayat-ayat Allah dalam erti penyerlahan hikmah ciptaan Tuhan dan penjelmaan keindahan nikmat kurnia-Nya. Andainya kepelbagaian diurus dan dikendalikan dengan bijaksana, ia akan menghasilkan kesalingan yang produktif - saling memperkaya dan memperkasa.

Perbezaan tidak bererti permusuhan, tetapi kekuatan dan kekayaan budaya. Kata kunci dalam memahami tujuan penciptaan kepelbagaian (bangsa dan kaum) ialah lafaz lita’arafu dalam surah al-Hujurat: 13 yang biasanya diterjemahkan sebagai “untuk saling mengenal”, tetapi tentu sahaja tidak sebatas saling mengenal. Ta’aruf (saling mengenal) pasti ada kelanjutannya iaitu saling bekerjasama, saling memanfaatkan, saling memperkaya, saling memperkasa dan seterusnya. Kerana itu kata lita’arafu difahami dengan dua makna: saling mengenal dan saling berinteraksi serta hidup bersama secara damai dan harmonis,

.الاول ان يعرف بعضكم بعضا، والثاني ان تتعاملوا فيما بينكم بالمعروف

Dialog Sebagai Wahana Taaruf

Untuk merealisasikan matlamat ta’arufwahana terbaiknya adalah dialog, sesuai dengan pendekatan Qur’ani yang banyak sekali memakai kaedah hiwar dalam menyampaikan mesejnya. Tepat sekali apabila al-Shaykh ‘Abdu ‘Llah bin Bayyah mengatakan bahawa dialog (hiwar) adalah kewajipan keagamaan dan sekali gus keperluan kemanusiaan (al- hiwaru wajibun diniyyun wa daruratun insaniyyah) (Bin Bayyah, ‘Abdu ‘Llah, 2016: 25- 54). Menerusi dialog yang intensif dan ekstensif semua pihak dapat saling memahami dan seterusnya saling menghormati. Dialog yang sihat dan produktif hanya mungkin terlaksana jika didasari kesediaan menerima orang lain, dan bukan hanya orang lain, tetapi orang lain yang berbeza (qabul al-akhar al-mukhtalif). Menerima orang lain yang berbeza tidak seharusnya menjadi masaalah kerana premisnya adalah menghormati perbezaan dan menyenangi perbezaan (ihtiram al-ikhtilaf wa hubb al-ikhtilaf) sebagaimana yang telah disebutkan di atas. Dialog dalam masyarakat berbeza kaum, agama dan budaya akan mempertemukan pelbagai sudut pandangan dan seterusnya menghasilkan rumusan yang mantap untuk menangani masalah bersama.

Islam memang menganjurkan dialog sebagai wahana komunikasi dengan pihak-pihak lain yang berbeza seperti golongan ahl al-kitab. Sirah nabawiyah mencatatkan bahawa Rasulullah s.’a.w. berdialog dengan pelbagai pihak, termasuk kaum musyrikin Quraysh yang memusuhinya. Untuk menjayakan dialog, umat Islam diingatkan dengan pesan al-Qur’an agar ia dilakukan dengan cara terbaik (bi ‘llati hiya ahsan). Maksudnya, umat Islam harus mencapai tahap kepiawaian dialog yang mengatasi pihak lain.

Nilai Keadilan dan Kebaikan

Untuk memenuhi tuntutan keagamaan dan kemanusiaan, umat Islam harus tampil mempelopori usaha penciptaan masyarakat yang bersatu, hidup bersama dalam perbezaan dan kepelbagaian. Umat Islam memiliki modal kekuatan moral yang terumus pada pesan al-Qur’anbalaslah dengan cara yang lebih baik, sudahnya nanti mereka yang bermusuhan dengan kamu akan berubah menjadi teman setia” (Fussilat:34). Demikianlah undang-undang akhlaqi ketentuan Tuhan: kebaikan akan membawa kebaikan; siapa menabur bakti, dia akan menuai budi; siapa menanam kasih, dia akan memetik sayang.

Menyikapi dan melayani pihak lain, siapa pun mereka, termasuk yang berbeza agama harus berasaskan prinsip keadilan (al-qist/al-‘adl) dan kebaikan (al-birr). Demikianlah mesej ayat 8 surah al-Mumtahanah yang menyebut tahap minimum pelayanan terhadap orang bukan Islam ialah memberikan keadilan, dan selebihnya adalah berbuat kebaikan terhadap mereka. Pesan al-Qur’an ini dapat membina asas kesediaan umat Islam untuk menyumbang kepada realisasi matlamat hidup bersama, berdampingan secara harmonis dengan golongan bukan Islam. Sesuai dengan undang-undang akhlaqi bahawa kebaikan akan disambut dengan kebaikan, penegakan prinsip keadilan dan nilai bakti kemanusiaan akan mewujudkan budaya kesalingan dalam masyarakat yang berbeza kaum, agama dan budaya. Justeru, keadilan dan bakti kemanusiaan akan mendapat apresiasi semua pihak kerana ia adalah nilai yang dikongsi bersama oleh seluruh warga masyarakat majmuk.

Umat Islam memang seharusnya mampu meyakinkan pihak-pihak lain dengan nilai-nilai unggul akhlak kemanusiaan. Nilai-nilai unggul yang dibuktikan dengan amal nyata pasti akan merangsang pihak lain berbuat yang sama. Antara nilai unggul yang harus sentiasa dijunjung tinggi ialah nilai kemuliaan insan (karamah insaniyyah). Manusia adalah makhluk mulia, terlepas dari persoalan bangsa, agama dan budayanya. Kemuliaan insan adalah kurnia Tuhan (al-takrim al-Ilahiy) yang bererti Tuhan sendiri yang memuliakan manusia, dan kerana itu tidak siapa pun yang berhak menghina manusia dengan cara apa pun. Sebagai makhluk mulia, maruahnya harus dilindungi dan kebebasannya harus dijamin. Manusia tidak boleh diaibkan dan tidak boleh dibelenggu atau dipenjara tanpa dasar undang-undang yang adil.

Budaya Damai

Prinsip asas Islam dalam hubungannya dengan pihak lain adalah damai (salam).  Perang adalah suatu kekecualian atas sebab-sebab tertentu. Ajaran Islam jelas sarat dengan semangat damai, dan kerana itu nilai damai seharusnya membentuk watak dan budaya umat. Kata salam ada di mana-mana: kata salam adalah seakar dengan nama al-Islam itu sendiri, Salam adalah nama Tuhan, salam adalah nama syurga, salam adalah kehidupan yang didambakan oleh setiap orang Islam, salam adalah ucapan hormat yang sekali gus do’a umat Islam untuk orang lain, salam adalah kata penutup sembahyang (yang diucapkan dan ditebarkan ke kanan dan ke kiri), dan di mana-mana lagi. Orang Melayu menyerap nilai salam ke dalam budayanya setelah mengadaptasi kata salamah menjadi “selamat”. Bahasa Melayu banyak sekali memakai kata “selamat” dalam pelbagai konteks: selamat datang, selamat jalan, selamat pagi, selamat malam, selamat maju jaya, selamat pengantin baharu, kenduri do’a selamat, selamat panjang umur, telah selamat dikebumikan dan seterusnya. Di samping itu banyak pula kata terbitan dari akar kata salima yang dipakai sebagai nama orang Melayu seperti Salim, Salimah, Salmah, Salmiah, Selamat dan Slamet. Mungkin banyak lagi fenomena budaya seperti itu dalam kehidupan Melayu, termasuk amalan berjabat tangan yang disebut dengan kata bersaaman. Demikianlah kentalnya semangat damai dalam jiwa manusia Melayu-Muslim. Rasanya cukup alasan untuk mengatakan bahawa kita adalah umat yang paling berpotensi menjadi penyebar budaya damai.

Memang umat Islam adalah umat pengembang misi damai ke seluruh jagat raya sesuai dengan ciri khas agama Islam sebagai rahmatan li al-alaminMenyebar rahmat kepada seluruh warga alam bererti penyejahteraan makhluk seisi alam - manusia, flora dan faunanya. Kegagalan menyelamat dan menyejahterakan manusia, haiwan dan tetumbuhan bererti kegagalan melaksanakan amanah penyebaran rahmah dan salam. Rasa berdosa kerana gagal melaksanakan amanah penyejahteraan inilah yang terungkap dalam puisi kiyai-budayawan Mustofa Bisri, SELAMAT IDUL FITRI,

Selamat idul fitri bumi 
Maafkanlah kami 
Selama ini
Tidak semena-mena 
Kami memperkosamu


Selamat idul fitri langit 
Maafkanlah kami 
Selama ini
Tidak henti-hentinya 
Kami mengelabukanmu



Selamat idul fitri mentari 
Maafkanlah kami 
Selama ini
Tidak bosan-bosan

Kami mengaburkanmu

Selamat idul fitri laut

Maafkanlah kami 
Selama ini
Tidak segan-segan 
Kami mengeruhkanmu


Selamat idul fitri burung-burung 
Maafkanlah kami
Selama ini

Tidak putus-putus

Kami membrangusmu

Selamat idul fitri tetumbuhan 
Maafkanlah kami
Selama ini

Tidak puas-puas

Kami menebasmu

Selamat idulfitri para pemimpin 
Maafkanlah kami
Selama ini

Tidak habis-habis

Kami membiarkanmu


Selamat idul fitri rakyat 
Maafkanlah kami
Selama ini

Tidak sudah-sudah

Kami mempergunakanmu


Selamat idul fitri.

Membudayanya amalan meminta maaf dalam kalangan umat Melayu, terutama pada hari raya, menunjukkan bahawa umat kita sangat mementingkan damai. Bagi mereka ‘idu ‘l-fitr dan idu ‘l-adha adalah hari kemaafan dan perdamaian. Yang menjadikan puisi Mustofa Bisri di atas istimewa ialah mesej damainya yang inklusif dalam pengertian merentas alam - alam insan, alam haiwan, alam tetumbuhan, langit, bumi dan lautan.

Fiqh al-Muwatanah

Hidup bersama dalam kepelbagaian yang menjadi inti perbahasan fiqh al-ta’ayush sebenarnya sangat terkait dengan fiqh al-muwatanah (fiqh kewarganegaraan). Membina kerukunan hidup dalam kepelbagaian tidak hanya dengan nilai-nilai moral asas” yang dikongsi bersama, tetapi perlu didukung oleh nilai-nilai kewarganegaraan seperti nilai mengakui dan menghormati perbezaan, persamaan hak dan tanggungjawab, persamaan di hadapan undang-undang dan lain-lainnya. Nilai-nilai kewarganegaraan ini mengatasi kaum dan golongan, tetapi tidak meleburnya. Setiap kaum dan golongan dijamin haknya untuk kekal dengan jati diri masing-masing. Dengan demikian masyarakat tetap majmuk dan pelbagai tetapi terpadu dalam bingkai kesatuan seperti Perlembagaan Negara, Rukun Negara, Bahasa Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Negara dan lain-lain lagi. Inilah yang kita namakan “kepelbagaian dalam bingkai kesatuan”.

Dalam konteks politik Islam, kewarganegaraan (muwatanah) pada hakikatnya bukanlah suatu yang baru atau asing.  Ia adalah konsep yang mengakar pada Perlembagaan Madinah (Sahifah Madinah) zaman Rasulullah s.’a.w. Perlembagaan tersebut mengatur kerukunan hidup dalam ke-bhinneka-an masyarakat majmuk (Muslimin, Yahudi dan kaum musyrikin) yang bersama menempati watan bumi Madinah.  Kebebasan beragama yang menjadi prinsip dasar ajaran Islam terlaksana sepenuhnya, dan ini secara konsekuensial membawa kepada kewujudan masyarakat pelbagai agama. Tetapi perbezaan dan kepelbagaian ini tidak menghalang pembentukan kesatuan umat (ummatun wahidah). Inilah yang termeterai dalam pasal 25 Perlembagaan Madinah:

.يهود بنىي عوف امة مع المؤمنين، لليهود دينهم وللمسلمين دينهم

Pasal tersebut memproklamasikan pembentukan satu ummah gabungan kaum Muslimin dengan Yahudi. Kesatuan ummah tersebut tidak menafikan hak kebebasan beragama dan tidak melebur jati diri keagamaan masing-masing. Implikasi peruntukan ini ialah kewajipan menghormati agama lain, termasuk menghormati para penganutnya dan tempat-tempat ibadatnya. Sejarah Islam, khususnya zaman Nabi dan Sahabah banyak mencatatkan peristiwa penghormatan terhadap penganut-penganut Kristian yang meninggal dunia. Qays ibn Shammas (seorang sahabiy) diizinkan oleh Rasulullah s.’a.w. menziarahi jenazah ibunya yang beragama Kristian. Abu Wa’il mengalami hal yang sama, lalu bertanya kepada ‘Umar ibn al-Khattab, dan jawapannya juga sama. Demikian juga ‘Abdu ‘Llah ibn Rabi’ah yang ditimpa peristiwa yang sama, lalu bertanya kepada ‘Abdu ‘Llah ibn ‘Umar, jawapannya juga sama.

Komitmen menghormati tempat-tempat ibadat agama lain dipertegas pula dengan ayat 40 surah al-Hajj yang menyatakan bahawa rumah-rumah ibadat Yahudi dan Kristian wajib dihormati dan kerana itu ia tidak boleh diceroboh. Rasulullah s.’a.w. dan para khalifahnya dengan setia telah melaksanakan ayat tersebut. Sepanjang hayat mereka tidak pernah meruntuhkan gereja, tempat ibadat Yahudi atau rumah api. Demikian juga para ulama zaman silam yang berpendirian tegas menghalang segala bentuk tindakan menceroboh rumah ibadat agama lain. Sejarah mencatatkan al-Imam al-Layth ibn Sa’d membantah tindakan gabenor Mesir meruntuhkan gereja-gereja di wilayahnya. Al-Imam al-Layth menulis surat protes kepada Khalifah menuntut pemecatan gabenor yang mengingkari pesan Nabi s.’a.w. agar melayani umat Qibti Mesir dengan baik. Dengan alasan tersebut Khalifah telah memecat gabenor berkenaan dan memerintahkan pembinaan semula gereja-geraja yang telah diruntuhkan.

Umat pelbagai kaum dan agama di Madinah telah disatukan atas prinsip keadilan dan persamaan, bukan atas dasar majoriti atau minoriti. Prinsip keadilan dan persamaan hak dan tanggungjawab disebut dalam pasal 37:

ان على اليهود نفقتهم ، وعلى المسلمين نفقتهم ، وان بينهم النصر على من حارب اهل هذه الصحيفة

Dari semangat Perlembagaan Madinah yang sedemikian itulah terumusnya prinsip persamaan Mereka mendapat apa yang kita dapat, dan menanggung apa yang kita tanggung”. Ini bererti semuanya mendapat status kewarganegaraan penuh (al- muwatanah al-kamilah) dengan hak dan tanggungjawab yang sama.

Roh Perlembagaan Madinah harus dilestarikan dalam menangani masalah masyarakat majmuk hari ini. Perlembagaan Madinah adalah sebuah model perlembagaan yang realistik, menerima realiti kemajmukan seadanya. Kerana itu ia wajar dijadikan acuan pembinaan masyarakat Malaysia dan bangsa Malaysia yang bersatu dalam kepelbagaian. Cita-cita hidup bersama sebagai satu bangsa atau satu ummah harus dijayakan sesuai dengan maqasid al-shari’ah yang selamanya bermatlamat memelihara tatanan hidup yang dapat merealisasikan maslahah dan menghindari mafsadahMengurus kepelbagaian demi kehidupan bersama yang damai adalah maslahah utama bagi warga Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya. Silang-sengketa dan konflik antara agama atau antara kaum adalah mafsadah yang wajib dihindari. Usaha merealisasikan maslahah hidup berdampingan dalam perbezaan ini harus didasari semangat keadilan dan toleransi demi mencapai maqasid kesejahteraan dan pemerataan rahmah Ilahiyah.

Merajut damai dalam kepelbagaian memang memerlukan tahap toleransi yang tinggi. Untuk itu istilah-istilah tertentu dalam sejarah politik silam yang kini sudah tidak relevan dan tidak dapat diterima, seperti istilah kafir harbiy dan kafir dhimmiy seharusnya digantikan dengan istilah lain yang dapat diterima dan lebih menepati realiti hari ini. Sesuai dengan semangat kebersamaan istilah yang realistik ialah al-muwatnun atau warganegara, istilah yang inklusif meliputi semua - Muslim dan bukan Muslim. Seperti yang dinyatakan oleh al-Qaradawiy bahawa fuqaha’ silam menyebut kaum dhimmiy sebagai ahl al-dar (warga negara Islam) yang bererti mereka bukan orang asing. Jika demikian mereka sebenarnya adalah ahl al-watan yang selayaknya disebut al-muwatinun (warganegara) sama dengan warga Muslimin dan tidak berbau diskriminatif. (Al- Qaradawiy, Yusuf, 2010: 40).

Al-muwatinun sebenarnya ialah mereka yang disebut dalam turath fiqh siyasah sebagai al-ra’iyyah. Istilah al-ra’iyyah dengan makna yang inklusif, meliputi Muslim dan bukan Muslim itulah yang dipakai oleh Sayyidina ‘Ali ibn Abi Talib k.w. dalam surat pelantikan Malik al-Ashtar sebagai Gabenor Mesir yang penduduknya Muslim dan Kristian (Qibti),

,اشعرقلبك المحبة للرعية واللطف بهم والعطف عليهم ، ولاتكونن عليهم سبعا ضاريا تغتنم اكلهم
.فانهم صنفان: اما اخ لك في الدين ، او نظير لك في الخلق.

Berasaskan catatan di atas, kata rakyat (ra’iyyah) dapat digunakan di samping kata warganegara (muwatinun). Pesan Sayyidina ‘Aliy k.w. tersebut mengingatkan bahawa rakyat muslimin adalah saudara seagama, sementara yang bukan Muslim pula adalah warga sesama manusia. Pada hakikatnya warga sesama manusia juga bersaudara. Persaudaraan kemanusiaan itulah yang disebut ukhuwwah insaniyyah atau ukhuwwah bashariyyah.

Dari segi realitinya, status harbiy-dhimmiy sebenarnya memang sudah lama tidak ada. Selewat-lewatnya pada pertengahan abad ke-19, iaitu pada zaman Turki ‘Uthmani status dhimmiy tidak lagi wujud. Mengenai isu ini al-Ghunaimi menyatakan, “When Sultan Abdel Majid issued the Khatti-Sherif of Gulhane, in 1839, proclaming the principle of equality between the Muslims and the Christians, the classical legal status of the dhimmis, presumably, was to disappear.” (Al-Ghunaimi, Mohammad Talaat, 1968:213). Demikianlah hakikatnya, kita seharusnya bersikap realistik bahawa realiti politik telah berubah. Kita tidak lagi hidup pada era empayar Islam. Sekarang adalah zaman dawlah wataniyyah atau negara nasional.

Fiqh Politik Baharu

Perubahan al-waqi’ al-siyasiy (realiti politik) menuntut penyesuaian fiqh politik warisan abad-abad silam. Dalam pembinaan fiqh, waqi’ (realiti) adalah salah satu unsur penting di samping nass dan faqihnya. Kerana itu al-waqi’ al-maliziy al-mu’asir (realiti kemalaysiaan masa kini) harus diperhitungkan secara saksama dalam usaha pembinaan fiqh al-ta’ayush (fiqh hidup bersama) dan fiqh al-muwatanah (fiqh kewarganegaraan) yang realistik dan berorientasi kemalaysiaan. Fiqh yang tumbuh dalam realiti kemalaysiaan itu harus mampu menjawab persoalan-persoalan tentang hubungan Muslim dengan bukan Muslim dan sekali gus merangsang serta mendorong ke arah pembentukan bangsa Malaysia dengan beracuan Perlembagaan Madinah berasaskan formula kepelbagaian dalam bingkai kesatuan.

Fiqh politik yang realistik harus dapat menerima hakikat perlunya perkongsian kuasa Muslim-bukan Muslim demi maslahah hidup bersama. Untuk itu prinsip keadilan dan kewajaran harus menjadi asas perkongsian kuasa dengan mengambil kira keseimbangan proporsinya dan keserasiannya dengan kenyataan kesejarahan dan kebudayaan negara ini. Dalam sejarah pemikiran politik Islam, perkongsian kuasa Muslim-bukan Muslim telah diwacanakan dan dilaksanakan. Al-Mawardiy misalnya, membolehkan orang dhimmiy menjadi Wazir al-Tanfidh (Menteri Pelaksana). Dari segi praktiknya pula, Dr.Hamid ‘Abdu ‘Llah Rabi’ dalam ulasannya terhadap manuskrip Suluk al-Malik fi Tadbir al-Mamalik oleh Shahab al-Din Ahmad ibn Muhammad ibn Abi al-Rabi’ yang ditulis untuk Khalifah al-Mu’tasim bi ‘Llah al-‘Abbasiy, menyebut bahawa zaman pemerintahan al-Ma’mun dicirikan oleh tahap toleransi yang luar biasa sehingga jawatan Perdana Menterinya disandang oleh seorang Katolik iaitu Fadl ibn Marwan (Rabi’ Hamid ‘Abdu ‘Llah, 1983: 240-241).

هذه الفترة امتازت بالتسامح حتى ان رءيس وزراء الماءمون كان كاثوليكيا محتفظا
 ..."بديانته وهو " فضل بن مروان

Bagaimanapun apa yang sesuai pada masa lalu di Baghdad, tidak semestinya sesuai pada masa kini di Malaysia.  Asas pertimbangannya adalah maslahah.

Fiqh politik yang berteraskan prinsip keadilan tidak harus sekadar memberikan justifikasi syarak kepada segala amalan politik yang berlaku. Sebaliknya harus melakukan koreksi terhadap segala penyimpangan dari prinsip keadilan. Segalanya harus dinilai dari sudut pandang keadilan. Demikianlah seharusnya fiqh politik menilai persempadanan garrymandering dan malapportionment misalnya.  Ia harus dinilai dengan neraca keadilan, bukan dari segi siapa untung siapa rugi. Keadilan politik adalah tonggak kerukunan hidup bersama masyarakat majmuk.

Pendidikan dan Masyarakat Majmuk

Untuk mendukung aspirasi tersebut, pendidikan memainkan peranan kunci kerana ia adalah wahana pembinaan generasi menerusi pembudayaan nilai-nilai umum moral sejagat dan nilai-nilai kewarganegaraan. Dalam kaitan ini perlu dilihat sejauh mana keupayaan sistem pendidikan kebangsaan kita mewadahi generasi muda berbilang kaum dengan keseimbangan komposisi dan intensiti interaksi yang seperlunya. Pendidikan Islam juga harus menyesuaikan diri dengan realiti kemajmukan masyarakat. Pendidikan Islam di Malaysia seharusnya berciri khas pendidikan Islam dalam masyarakat majmuk. Untuk itu pendidikan fiqh al-ta’ayush dan fiqh al-muwatanah wajar dipertimbangkan menjadi bahagian daripada kurikulumnya. Selain itu perlu juga ditinjau sejauh mana telah berlaku interaksi Musim-bukan Muslim dalam persekolahan Islam, Cina dan Tamil. Adalah suatu yang memprihatinkan apabila ada aliran persekolahan dalam masyarakat majmuk yang tidak mengalami interaksi antara kaum. Falsafah Pendidikan Kebangsaan perlu diperkukuh dengan memasukkan matlamat pendidikan untuk pembinaan bangsa. Untuk waktu ini ungkapan yang menyebut matlamat melahirkan rakyat Malaysia yang dapat, “.... memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.”, mungkin boleh dijadikan asas pijakan pendidikan keharmonian antara kaum.

Khatimah

Agama, khususnya Islam, harus berfungsi dan berperanan membangun budaya damai dan seterusnya menjayakan agenda pembinaan bangsa. Sikap menghargai perbezaan dan kepelbagaian harus dipupuk berasaskan kefahaman terhadap sunnah penciptaan dan hikmah di balik ayat-ayat Tuhan. Sementara itu nilai persaudaraan perlu difahami dan diamalkan dalam erti yang luas, tidak terbatas hanya dalam lingkaran persaudaraan seagama (ukhuwwah diniyyah), tetapi meliputi persaudaraan setanah air (ukhuwwah wataniyyah) dan seterusnya persaudaraan kemanusiaan (ukhuwwah insaniyyah). Kedamaian hidup bersama dalam kepelbagaian adalah suatu tuntutan keagamaan dan sekali gus suatu keperluan kemanusiaan. Kerana itu ia perlu diatur dalam suatu tatanan hidup yang religius. Untuk itu fiqh al-ta’ayush harus dikembangkan di tengah kemajmukan masyarakat Malaysia. Kejayaan ini akan membolehkan dunia belajar dari eksperimen dan pengalaman Malaysia membina satu bangsa dalam pengertian satu ummah yang lahir dari gabungan mantap dan harmonis pelbagai kaum, agama dan budaya.

Bacaan:

Al-Ghunaimi, Mohammad Talaat. 1968. The Muslim Conception of International Law and Western ApproachThe Hague: Martinus Nijhoff.

Al-Qaradawiy, Yusuf. 2010.  Al-Watan wa al-MuwatanahKaherah: Dar al-Shuruq. 

Al-Rabi’, Shihab al-Din Ahmad ibn Muhammad ibn Abi. 1983. Suluk al-Malik fi Tadbir al-
Mamalik, jil.2 (ed. Hamid ‘Abdu ‘Llah Rabi’). Kaherah Dar al-Sha’b.

Bin Bayyah, ‘Abdu ‘Lllah. 2016. Al-Hiwar Wajibun Diniyy wa Daruratun InsaniyyahDlm. Liqa’ Abu Zabiy Nahw Alam Mutafahim wa Mutakamil.  Abu Zabiy: MajlisHukama’ al-Muslimin.

Hidayat, Surahman. 2012. Al-Ta’ayush al-silmiy bayna al-Muslimin wa Ghayrihim Dakhila Dawlatin WahidahKaherah: Dar al-Salam.

Huwaydiy, Fahmiy. 1999. Muwatinun la DhimmiyyunKaherah: Dar al-Shuruq.

‘Imarah, Muhammad. 2008. Al-Islam wa al-Ta’addudiyyahKaherah: Maktabat al-Shuruq

al-Dawliyyah.

Rustam A. Sani. 2008. Failed Nations? Concerns of a Malaysian Nationalist. Petaling Jaya: SIRD.

Siddiq Fadzil. 2016. Pembinaan Bangsa: Kepelbagaian dalam Bingkai Kesatuan. Shah Alam: Institut Darul Ehsan.

KDH/IDE/UNISEL 17102018.

Sunday, October 14, 2018

TAHNIAH DATO SERI ANWAR IBRAHIM DAN HARAPAN RAKYAT

Kemenangan besar Dato Seri Anwar Ibrahim pada pilihanraya kecil P132 Port Dickson adalah tanda isyarat jelas sokongan padu rakyat yang menginginkan pengisian perubahan yang bermakna bagi negara sebagaimana ditunjukkan pada semangat kemenangan PRU14.

Corak pengundian membuktikan sokongan padu rakyat berbilang kaum kepada kepimpinan Dato Seri Anwar Ibrahim.

PRK Port Dickson adalah manifestasi pilihanraya yang bersih dari penyalahgunaan kuasa kerana tiada lagi penggunaan peruntukan dana awam, pembinaan atau penurapan jalanraya baru, perasmian bangunan-bangunan macam cendawan selepas hujan, tidak lagi sebagaimana amalan lazim sebelum ini. Ini adalah suatu iltizam integriti yang meyakinkan.

Kepemimpinan Dato Seri Anwar telah berat diuji dengan pelbagai fitnah dan mehnah akibat angkara lawan yang zalim dan kawan yang tidak setia. Beliau tetap beristiqamah dalam idealisme perjuangannya membela rakyat, menegakkan kebenaran dan keadlan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa.

WADAH secara terbuka amat yakin dan menyokong penuh Dato Seri Anwar Ibrahim atas kewibawaan kepemimpinan yang telah teruji, bersih daripada rasuah, bersifat inklusif, berprinsip demokratik dan Islamik.

Dato Seri Anwar Ibrahim berjaya menampilkan wajah Islam yang membawa rahmat untuk semua, dengan sifat dan nilai sarwa alam. Malaysia sebenarnya mampu menampilkan model Islam sebagai penyelesaian kepada persoalan masyarakat majmuk melalui kepimpinan yang amanah, kompeten dan ke hadapan.

WADAH menyeru semua pihak agar mendukung semangat perubahan yang didambakan oleh rakyat. Kini masa bagi mengurangkan polemik kebencian dan hasad pertelingkahan. Berilah peluang kerajaan Pakatan Harapan yang telah mendapat mandat jelas rakyat untuk bertindak bagi menangani krisis kewangan dan ekonomi warisan pemerintahan Barisan Nasional yang amat parah dan telah memalukan negara.



AHMAD AZAM ABDUL RAHMAN
Presiden
Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)

14 Oktober 2018/ 05 Safar 1440H